Tuesday, August 18, 2009

MERDEKA ! MERDEKA ! MERDEKA !

Selamat menyambut bulan kemerdekaan MC ucapkan kepada semua peminat dan penggemar sukan catur di Malaysia. Semoga sambutan kemerdekaan pada tahun ini akan membawa seribu keinsafan buat kita semua, apatah lagi sambutan pada tahun ini adalah dalam bulan Ramadhan yang mulia. Mudah-mudahan keinsafan dan ketaqwaan akan bersama kita dalam mengharungi saki baki usia tahun 2009.

Bercakap tentang kemerdekaan ini mengingatkan MC tentang sukan catur di negara kita. Ada sesetengah pendapat mengatakan sukan catur ini belum sepenuhnya merdeka di negara kita. Pelbagai ulasan dan komentar yang MC dengar dalam hujah mereka untuk menegakkan dakwaan tersebut. Pelbagai matra dan dimensi disentuh, antaranya pengurusan, perancangan, penglibatan, komitmen, dan bermacam-macam lagi.

Persatuan di peringkat pusat bagi MC perlulah menjadi pendorong ikhlas untuk mempercambahkan lagi kewujudan persatuan-persatuan catur di peringkat negeri dan daerah. Sesuatu perlu difikirkan hari ini demi memastikan kesinambungan sukan ini bukan sahaja tidak mati, malahan akan menjadi lebih baik dan bertambah baik pada masa-masa yang akan datang.

Kepimpinan hari ini perlulah memikirkan dan melihat sukan ini 10tahun,20tahun, atau lebih daripada itu dalam merangka strategi untuk memartabatkan sukan ini, khususnya menaikkan nama negara ke persada dunia. Janganlah tumpuan dinihari sahaja yang cuba dicapai sedangkan kecemerlangan secara tekal dan tuntas di masa hadapan tidak pula tergapai. Anak-anak muda kita semakin hari semakin bertambah dan bercambah menceburi sukan ini dan hari ini hampir kesemua sekolah dan pusat pengajian tinggi sudah membentuk persatuan catur mereka, justeru kita seharusnya memperbanyakkan kegiatan bercatur ini di peringkat komuniti pula kerana untuk menarik minat generasi muda mencintai sukan ini secara bersungguh, maka ibu bapa mereka terlebih dahulu dimesrakan dengan sukan ini. Bukankah kata pepatah, tidak kenal maka tidak cinta.

Sukan ini juga mampu bertindak sebagai medium bagi menyatupadukan segenap lapisan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakangnya. Jika ini berjaya dilaksanakan, betapa beruntungnya semua penggemar sukan ini dan tidak ada lagi prasangka negatif lagi pesimis sesama kita...........Siapa pun kita,,kita anak Malaysia....Jika ini dipegang, barulah kita benar-benar merdeka. MERDEKA!MERDEKA!MERDEKA! Sekian.

MINDA CATURA

No comments:

Post a Comment