Saturday, August 29, 2009

BERITA HARUM BUAT SUKAN CATUR

Ramadhan kali ini bukan sahaja penuh makna dan menyediakan ruang yang luas untuk kita terus mendekatiNya, malahan juga hari ini, akhirnya KBS melalui Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Chik telah menyatakan untuk membantu membangunkan sukan catur di Malaysia. Alhamdulillah, akhirnya apa yang kita inginkan bakal terlaksana juga. Beliau mengulas untuk mengadakan perbincangan dengan Persatuan Catur Malaysia untuk membuat perancangan selanjutnya. Semoga semua pihak yang bakal terlibat dalam perbincangan nanti benar-benar ikhlas untuk memajukan sukan ini demi negara tercinta.

Bagi MC, jika hasrat ini tertunai dan tidak tertunda dalam masa terdekat banyak perkara yang harus sama-sama kita lakukan. Di pihak kita sebagai ibu bapa dan guru kepada pemain, kita mungkin perlu memastikan anak-anak dan anak-anak didik kita semakin serius dalam sukan ini agar dapat terus melahirkan pemain yang hebat agar dapat mwmbuktikan kepada pihak kerajaan yang tindakan untuk memartabatkan sukan ini bukanlah perkara yang sia-sia.

Bagi pihak persatuan pula sama ada di peringkat daerah, negeri, mahupun kebangsaan, satu bentuk pengurusan yang lebih bersistematik dan lutsinar perlulah diwujudkan seandainya sehingga ke hari ini masih mempunyai lubang-lubang yang perlu ditampal. Kita perlu sentiasa ingat dan sedar, perjuangan kita hari ini dalam sukan ini bukanlah untuk menjadi kaya tetapi untuk memajukan sukan ini. Sukan yang begitu sinonim dengan kehebatan mental ini sememangnya memerlukan individu yang hebat pemikirannya untuk merangka hala tuju yang hendak dibawa terhadap perkembangan sukan ini secara total.

Jika perlu, bagi MC penubuhan kelab penyokong yang mungkin terdiri dari kalangan ibu bapa dan guru-guru kepada pemain juga amat relevan demi menjadi penyokong kepada kegiatan persatuan. Ini juga boleh berperanan untuk menjadi salah satu medium dalam memastikan pengurusan yang teratur dan telus. Bayangkan jika bermula dari presiden sehinggalah ke ajk nya hebat, ditambah pula dengan sokongan luaran seperti kelab penyokong ini, MC optimis sukan ini akan berada di puncak.

Akhir sekali, semoga perancangan ini akan dapat dilaksanakan secepat mungkin kerana selain daripada diiktiraf kerajaan, satu bentuk pengurusan yang lebih super akan dapat diimplimentasikan serta semoga kehebatan pengurusan ini akhirnya akan mengundang pihak koperat dan konglomerat untuk menjadi penaja kepada kegiatan kita. Akhirnya tiada lagi kita perlu berhadapan dengan urusan pinjaman peribadi bank mahupun ah long moden tatkala ingin menghantar anak ke luar negara untuk mewakili Malaysia yang kita cintai ini.

Sekian untuk kali ini.Semoga kita semua akan terus tabah dalam menghadapi bulan Ramadhan ini dan ingin MC berpesan agar kita sama-sama membuat perCATURan yang relevan untuk berbelanja khususnya dalam menyediakan kelengkapan hari raya yang bakal menjelang, jangan sampai terblunder pula budget yang ada.

Minda Catura

No comments:

Post a Comment